Glitter Words
Dari Mu'az bin Jabarr.a Rasulullah SAW bersabda: "Pelajarilah ilmu pengetahuan kerana mempelajarinya merupakan suatu kebaikan, mengkajinya adalah tasbih, membahaskannya merupakan jihad, mencarinya laksana ibadah, mengajarkannya bererti sedekah, memberikannya (dengan kemurahan hati) dianggap mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, berfikir tentangnya dianggap sebanding dengan berpuasa dan muzakarah mengenainya adalah laksana melakukan ibadah solat"

Monday, October 24, 2011

Mudahnya Lelaki Menjadi DAYUS!


Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.


Hanya dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!! Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.


Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata."Habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"





Jawabnya, perlu juga, cuma topik saya sekarang ni sedang mencerita tanggungjawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.




Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi



قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.


Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )



Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.



BILA LELAKI MENJADI DAYUS?



Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-



1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.





7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.



Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.


Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.



Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.



Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya.


"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (surah at-Tahrim:6)




Tiap-tiap kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap kamu akan ditanya (bertanggungjawab) tentang orang yang dipimpinnya”. [Hadis Sahih Riwayat Bukhari]




Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)










Wanita berhias-hias @ Tabarruj...Bolehkah??




Soalan: Saya tahu bahawa Tabarruj adalah cara berpakaian atau perbuatan berhias secara berlebih-lebihan yang boleh menarik perhatian. Jadi, jika Khimar (tudung) seseorang wanita itu kecil, maka kelihatan leher atau rambut wanita tersebut, maka, adakah ia dianggap Tabarruj? Walhal, rambut dan leher yang kelihatan hanya sedikit dan tidak menarik perhatian dimana kebanyakan wanita yang tidak berjilbab biasanya berjalan dijalan-jalan dan mereka tidak menarik perhatian?




Jawapan:
Tabarruj adalah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagian–bahagian sulit (aurat). Ini dibatasi dengan tanpa membuka bahagian-bahagian sulit (aurat) kerana Tabarruj dengan memperlihatkan aurat adalah dilarang tanpa mengambil kira samada seseorang wanita itu menarik perhatian ataupun tidak.

Isunya bukanlah kerana tidak menutupi aurat, contohnya perbuatan seperti memakai make-up dimuka, dijari, ditudung atau baju atau menghiasi kaki seperti memakai gelang kaki. Kesemua perbuatan berhias ini, jika tidak menjadi kebiasaan di kawasan dimana seseorang wanita itu tinggal, dan perhiasan ini menarik perhatian, maka ini dipanggil Tabarruj dan ini adalah dilarang.

Jadi, contohnya, jika seseorang wanita itu mewarnai kukunya didalam sebuah kampung yang kebiasaan wanita-wanitanya tidak mewarnai kuku mereka, maka perbuatan berhias ini akan menarik perhatian, dan ini adalah dilarang, walaupun tapak tangan bukanlah aurat.

Dan jika dia berjalan, kedengaran bunyi gelang kakinya dan menarik perhatian kepada perhiasan dikakinya, walaupun kakinya tertutup, ini juga dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang.


Jika seseorang wanita itu memakai sehelai tudung broked yang bukan kebiasaannya, dan ini menarik perhatian, maka ini dianggap Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun rambutnya terlindung.

Jika seseorang wanita itu memakai Jilbab (jubah) yang mempunyai motif dibahagian dada yang boleh menarik perhatian, maka ini adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang walaupun Jilbab adalah pakaian yang Shar’ei.

Oleh yang demikian, berpakaian menutupi aurat, tetapi menarik perhatian adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Manakala berpakaian dengan membuka aurat adalah sama sekali dilarang samada ia menarik perhatian ataupun tidak.





Dalil tentang perkara ini adalah;



Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ An-Nur (24):31].

Seseorang wanita itu dilarang untuk berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian kearah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang.


Kesimpulan: Berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah Tabarruj dan ini adalah dilarang. Berpakaian dengan cara yang membuka aurat adalah sama sekali dilarang, tidak kira samada ia menarik perhatian ataupun tidak. Sudah semestinya membuka aurat adalah sesuatu yang dilarang.

Oleh itu, berpakaian walaupun dengan cara yang dibenarkan tetapi menarik perhatian seperti yang diterangkan diatas, adalah Tabarruj dan dilarang. Ini hanya boleh diketahui dari keadaan dan realiti persekitaran dimana wanita tersebut tinggal dan untuk mengetahui kebiasaan disana tidak sukar kerana komuniti – lelaki dan wanita boleh menilai dan mengetahuinya.

Menarik perhatian adalah penentu samada berpakaian itu adalah Tabarruj atau pun tidak. Manakala berpakaian yang tidak menutup aurat pula bukan terletak pada hukum Tabarruj, tetapi pada hukum aurat dan dalil-dalilnya adalah jelas, dimana seseorang wanita itu dilarang untuk membuka auratnya ,walaupun tidak menarik perhatian.



Allah Subhanahu wa Taala berfirman :

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka …..” [TMQ An-Nur (24) : 31]




kecuali yang (biasa) nampak daripadanya” bererti muka dan dua tapak tangan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (semoga Allah merahmatinya), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, pernah bersabda:




Jika seorang anak perempuan itu telah baligh, hanya muka dan kedua tapak tangannya yang boleh kelihatan” [Riwayat Abu Dawud]



Contoh seorang muslimah berpakaian yang sepatutnya. (Gambar: google)




Trend fesyen muslimah sekarang yang tidak mengikut piawaian Shariah (Gambar: google)





Oleh yang demikian, menurut dalil-dalil yang diberi, seseorang wanita itu tidak boleh memperlihatkan selain dari muka dan dua tapak tangannya kecuali kepada suami dan mahramnya. Inilah kewajipan untuk memakai Khimar yang sesuai untuk menutupi rambut dan leher dan melabuhkannya kedada, supaya tiada yang kelihatan kecuali muka dan kedua tapak tangan.




Allah Subhanahu wa Taala berfirman;

جُيُوبِهِنَّ عَلَى بِخُمُرِهِنَّ وَلْيَضْرِبْنَ




Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… [TMQ Al-Nur (24) : 31] yang bermaksud melilit tudung kebahagian pembukaan baju supaya leher tidak kelihatan dan tudung akan menutupi bahagian kepala, telinga dan leher, hanya kelihatan muka dan tapak tangan sahaja.






Wallahu'alam...sama-sama kita muhasabah dan renungkan diri sendiri, adakah kita termasuk di dalam golongan tabarruj atau tidak??? Nauzubillah.







Sumber: Sheikh Ata ibn Khaleel Abu al-Rashta
Sumber: Islamic revival








Dari Website mykhilafah.com






Tuesday, October 4, 2011

Kisah Suami Isteri dan Rumahtangga..


Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”


“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”


“Mengapa pula?” tanya siisteri.


“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”


“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”


Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’


Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:


i) Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.


Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.


Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?


Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.


Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.


Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.


Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.


Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.


ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.


Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.


Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?


Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.


iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.


Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.


Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!


Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!


iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.


Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.


Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?


Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.


v) Jangan terlalu serius.


Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?


Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.


Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!


Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.


Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…


Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”





Wednesday, March 23, 2011

:: Wahai para suami, dengarlah cerita isterimu ::


Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih. Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.

Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.

Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full time house wife" tu, meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.

Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.

Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi. Alangkah ruginya kita mempunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim".

Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".

Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristewa-peristewa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.

Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.



Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia.Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang.

Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu, menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah. Mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya. Menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik. Yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.

Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu.

Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya, tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.

Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di cafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti.

Sebab kita sudah kenyang. Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.



Sumber: RATUHATI

Tuesday, March 8, 2011

15 SEBAB ALLAH TURUNKAN BALA!


Mengapa Manusia Ditimpa Bencana?

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

❝Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:


1.Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.

2.Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).

3.Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

4.Apabila suami terlalu mentaati isteri.

5.Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.

6.Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

7.Apabila kedengaran banyak bunyi bising.

8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.

9.Apabila sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina oleh mereka.

10.Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.

11.Apabila arak menjadi minuman biasa.

12.Apabila lelaki memakai sutera.

13.Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.

14.Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.

15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu, maka pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin merah (puting beliung) atau gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman yang tidak menjadi.❞



Seandainya kita sama-sama merenungi hadis di atas, tidak dapat tidak kita akan menerima hakikat bahawa bencana yang menimpa sesuatu kaum itu adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Oleh itu, kembali kepada yang dituntut oleh Islam, semoga kehidupan kita akan dirahmati keamanan dari dunia hingga ke akhirat.


Sumber: FB

Sunday, January 23, 2011

++ Today's Du'a (دعا) ++



JOM KITA BERDOA SELALU :)!


Disiplinkan anak perlu ketegasan ibu bapa!


ANAK cemerlang sama ada dalam pelajaran, ko kurikulum dan sukan adalah mereka yang disiplin.

Ramai ibu bapa gagal mendisiplinkan anak mereka dan tidak sedar pentingnya perkara itu.

Mendisiplinkan anak memerlukan ketegasan, komitmen dan kebiasaan ibu bapa sendiri. Apabila kita tegas dan anak tahu yang kita serius, mereka akan akur dan berusaha mematuhinya.

Apabila kita berdisiplin, mudahlah anak mencontohi. Usah menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul sedang diri sendiri tidak betul.

Berikut beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam mendisiplinkan anak:


- Pastikan mereka sampai awal ke sekolah. Ada ibu bapa tidak ambil kisah perkara ini, akhirnya anak didenda pengawas dan sekolah. Ini pasti mengganggu emosi anak dan lama kelamaan, mereka belajar ponteng kerana takut atau malu masuk ke sekolah kerana lambat.

- Jejaki anak anda selepas sekolah. Kebanyakan sekolah harian, waktu persekolahan tamat tengah hari sedangkan ibu bapa bekerja hingga 5 petang. Dalam masa beberapa jam tanpa kawalan itu, anak boleh lakukan pelbagai perkara. Jika terpengaruh dengan rakan jahat, rosaklah akhlak mereka. Sesekali lakukan pemeriksaan mengejut dengan balik ke rumah awal untuk pastikan aktiviti anak. Cuba jejaki di mana anak kita berada dan siapa kawan mereka. Ini membolehkan anak tahu kita ambil tahu dan sayangkan mereka.

- Pastikan mereka hadir di sekolah, kelas tuisyen dan kelas agama. Sibukkan diri anak selepas waktu persekolahan dengan menghantar mereka ke kelas tuisyen dan kelas agama. Ini membolehkan kita tahu di mana mereka. Kita perlu semak dengan guru tuisyen dan agama sama ada anak kita hadir atau tidak. Jangan percaya bulat-bulat apa yang disampaikan anak kepada kita.

- Semak beg dan laci anak. Sesekali cuba semak beg dan laci anak dan tengok apa ada di dalamnya. Mereka mungkin memiliki sesuatu yang bukan milik mereka. Mereka mungkin menyimpan sesuatu yang tidak sepatutnya disimpan seperti video lucah atai cuba merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan kita. Langkah awal adalah langkah pencegahan yang boleh menyelamatkan mereka.

- Pastikan mereka siapkan tugasan dan kerja sekolah. Namanya pun bersekolah jadi pasti ada kerja dan tugasan guru beri. Jangan terlalu percaya apabila anak berkata tiada kerja rumah diberikan guru. Lama-kelamaan anak terbiasa dengan tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini akan membuatkan mereka tidak faham apa yang dipelajari dan keputusan peperiksaan merosot.

- Aturkan masa belajar dan masa rehat. Didik mereka konsep pengurusan masa. Mereka perlu tahu waktu belajar, main, menonton tv, berinternet, beribadah dan santai. Tanpa panduan ibu bapa, sukarlah untuk anak mengaturnya. Sebab lain anak lain perangainya.

- Latih anak dirikan solat di awal waktu. Disiplin anak bermula dengan bagaimana mereka mengerjakan solat. Jika suruhan Allah dilewatkan dan diabaikan, sukar mereka mematuhi suruhan manusia. Biasanya anak memberatkan akan kepentingan solat ini. Lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

- Dalam mendisiplinkan anak, ibu perlu adil antara seorang anak dengan yang lain. Jangan anak A perlu berada di rumah sebelum jam 6 petang tetapi anak B, dia balik jam 7, kita masih mendiamkan diri. Sikap ibu bapa itu menyebabkan anak mungkin menunjukkan sikap protes.

- Dalam mendisiplinkan anak perlu ada keseragaman antara ibu dan bapa. Jangan arahan dan peraturan yang diberikan ibu berbeza. Ibu kata masuk tidur jam 10 malam tetapi si ayah suruh tidur jam 11 malam. Mana satu yang anak nak ikut? Akhirnya mereka ikut masa mereka sendiri.



Wallahu'alam..:).




sumber: myMETRO

Related Posts with Thumbnails